Make your own free website on Tripod.com

COLUMNS

Sept 11, 2000

DOTMAI
Hishamuddin Rais

Si baghal dalam lembaga kepolisian

Tongong adalah kata sifat yang digunakan di Negeri Sembilan. Perkataan ini mempunyai makna sama seperti bebal, bodoh atau bangang.

Untuk insan yang tertulis Syed atau Sharifah pada permulaan nama mereka, mungkin ada pertalian nama dengan darah Arab, pasti mereka akan lebih memahami kata sifat yang seakan-akan sama, bahlul dan baghal.

Bahlul sering digunakan oleh masyarakat Arab di wilayah Levantine - Syria, Lebanon dan Palestin. Manakala baghal - atau terjemahan Melayu, keldai - juga membawa makna yang sama dengan tongong.

Ada satu lagi kata sifat dalam penggunaan bahasa pasar Arab - hemma - yang jarang kedengaran digunakan di sini; juga membawa makna yang sama dengan baghal.

Konsep dan makna perkataan ini muncul daripada pemerhatian empiris masyarakat Arab terhadap binatang-binatang yang ada di sekeliling mereka. Keldai dan baghal adalah dua binatang yang digunakan untuk memunggah barang.

Baghal cukup penting kepada sesiapa saja yang ingin mendaki bukit dan gurun berbatu. Sayangnya binatang-binatang ini terlalu bodoh.

Kajian ilmiah evolusi mendapati otak binatang ini tidak dapat lagi berkembang. Berbeza daripada otak manusia yang akan terus berkembang mengikut keadaan dan suasana persekitaran.

Sayangnya, di Malaysia, kajian ilmiah evolusi ini ada pengecualiannya.

Pengecualian ini muncul dengan ketara apabila kita melihat sesuatu kumpulan anggota masyarakat kita yang dianggap 'special'.

Dengan serta merta terbukti secara ilmiah bahawa ada anggota kumpulan ini yang bersifat baghal; terutama apabila berhadapan, membincangkan atau bercakap tentang konsep. Amat menyedihkan, si baghal ini mempunyai kedudukan dalam masyarakat.

Kebaghalan orang politik

Orang politik yang berkuasa atau yang tidak berkuasa memang ada kedudukan dalam masyarakat. Merekalah kumpulan yang sering memperlihatkan sifat-sifat kebaghalan itu. Hakikat baghal orang politik ini telah diterima bukan hanya di negara kita tetapi di seluruh dunia.

Malah, sebagai bukti, di Britain bekas Perdana Menteri John Major gagal dalam ujian untuk menjadi konduktur bas. Setelah gagal, dia menceburkan diri dalam politik. Justeru, di sini tidak perlu lagi kita timbulkan kebaghalan "orang politik."

Konsep utama yang paling susah untuk difahami oleh "orang yang ada kedudukan dalam masyarakat" (baca para birokrat kerajaan ) ialah konsep demokrasi.

Mereka begitu bebal sekali sehinggakan gagal memahami bahawa demokrasi itu bukan hanya bermakna membuang undi setiap lima tahun.

Demokrasi ialah cara hidup - pendekatan dan kaedah penyusununan sebuah masyarakat - melalui perbincangan, mesyuarat, pengundian - yang bertujuan untuk mengambil keputusan bersama agar membawa kebaikan untuk warganegara dan orang ramai.

Orang baghal juga menganggap politik dan kegiatan berpolitik hanya untuk orang yang menyertai parti. Dan kalau ingin berpolitik, sertailah pilihanraya. Tanggapan ini salah, lagi bebal.

Semua warganegara di negara demokrasi berhak untuk berpolitik atau menyertai proses politik yang berjalan setiap saat dan ketika.

Gagal fahami garis pemisah

Politik bukan hanya untuk memilih ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri. Di Amerika Syarikat, bukan hanya presiden yang diundi. Datuk bandar, pendakwa raya dan malah, sherif (ketua polis) di sebuah pekan kecil juga dipilih secara demokratis.

Dalam demokrasi seperti negara itu, Ketua Polis Perak atau Ketua Polis Jemapoh misalnya seharusnya dipilih oleh rakyat.

Justeru polis (badan birokrasi penguatkuasaan undang-undang) akan bertanggung jawab kepada orang ramai dan bukan kepada tuan politik. Apakah terlalu susah untuk memahami konsep dan lunas-lunas asas demokrasi seperti ini?

Di negara kita, kebebalan atau ketongongan semakin jelas kebelakangan ini. Selain bebal untuk memahami konsep demokrasi, mereka yang ada kedudukan ini juga gagal untuk memahami garis pemisah di antara daulah, pegawai kerajaan (birokrat) dan parti politik.

Daulah diwakili oleh pelbagai lembaga. Lembaga-lembaga ini adalah rangka kewujudan sesebuah negara. Lembaga seperti mahkamah, perlembagaan negara, media massa atau badan kehakiman wajib bergerak bebas sebagai rujukan kepada warganegara.

Tanpa lembaga-lembaga ini, sesebuah daulah tidak mungkin dapat berfungsi secara demokratis.

Manakala pegawai kerajaan, termasuk pegawai dan anggota polis, hanyalah birokrat yang bekerja untuk menjalankan dasar kerajaan yang telah dilantik secara demokratis.

Lembaga kepolisian seharusnya bertanggungjawab bukan kepada parti yang memerentah tetapi kepada parlimen yang telah dilantik oleh suara rakyat.

Baghal tunggangan

Lembaga kepolisian yang menjadi rangka daulah wajib dilihat menjalankan tugas berlandaskan undang-undang dan perlembagaan negara, dan bukan disuruh oleh parti ini atau parti itu.

Parti politik pula hanyalah satu badan sosial di mana orang ramai berkumpul untuk menyatukan pandangan demi mempertahankan kepentingan kumpulan itu.

Justeru MCA boleh dilihat sebagai satu parti yang mewakili kepentingan taukeh Cina, MIC mewakili kepentingan peniaga India dan Umno pula mewakili kepentingan korporat Melayu.

PRM mewakili golongan tani dan buruh Melayu. Manakala PAS dan DAP mewakili golongan peniaga kecil Melayu dan Cina. Parti sosialis dan parti komunis mewakili kepentingan kaum buruh dan tani tanpa mengira bangsa.

Setelah diterangkan semua ini, jika masih ada juga individu dan para birokrat yang gagal untuk memahami hakikat konsep demokrasi dan garis pemisah ini, maka individu ini boleh dilihat sebagai insan bebal.

Seperti kata P. Ramlee kepada Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, "kamu ini betul-betul bahlul."

Jika masih ada lagi pegawai kerajaan, pegawai polis atau para birokrat yang mempertikaikan peranan parti pembangkang, kerana parti pembangkang menentang kerajaan, maka mereka semuanya termasuk dalam istilah Arab, hemma.

Parti politik - pembangkang atau pemerintah - memang bertujuan mencari sokongan dan memperluaskan pengaruh mereka. Parti pembangkang akan bekerja bermati-matian untuk membuktikan bahawa kerajaan yang wujud kini telah gagal membela rakyat melalui dasar-dasarnya.

Parti pembangkang akan memperlekeh parti pemerintah dan akan memaparkan alternatif agar orang ramai dapat membuat penilaian baru.

Bangkangan dan alternatif yang disebarkan agar mereka dilihat lebih baik dari parti kerajaan sedia ada. Juga, dengan harapan rakyat akan memilih mereka sebagai kerajaan. Inilah asas demokrasi berparlimen.

Ugutan dan gertak bukan landasan demokrasi. Cara ini hanya digunakan oleh mereka yang tongong dan telah ditongongkan. Manusia yang bijak akan menggunakan fikrah dan tidak mungkin boleh dijadikan baghal tunggangan.