OLE-OLE DARI SABAH

Selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) yang bukan di luar jangkaan 
(di saat-saat akhir)dalam Pilihanraya Negeri Sabah baru-baru ini
para penganalisa politik tempatan berkecenderungan meramalkan 
kemungkinan kemenangan yang serupa akan berulang dalam pilihanraya
umum nanti.  Berdasarkan kepada kelengkapan bala tentera politik BN
yang canggih, tersurat dan tersirat semasa di Sabah adalah tidak 
mustahil ia berulang lagi di Semenanjung.  Adalah amat bodoh untuk
meramalkan seorang yang bersenjata lengkap dan canggih dan dibantu
oleh barisan penggempur yang rapi akan dikalahkan oleh lawan yang 
hanya bersenjatakan sebilah pedang berkarat.

Tidak keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa Dato' Seri Dr. Mahathir 
Mohamed masih kebal dan licik dalam sepak terajang politik 'end always
justifies means' di Malaysia hingga ke saat ini.  Mungkin ada langkah 
atau tektik dan teknik yang tak sampai hati dilakukan oleh pembangkang
tapi masih sanggup dilaksanakan oleh YAB Perdana Menteri.  Dengan 
menoleh sejenak kepada apa yang telah dialami oleh bekas Timbalan 
Perdana Menteri, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, seorang yang pernah 
menjadi ayam tambatan Dr. Mahathir, nyata sekali bahawa beliau berpegang
teguh dengan prinsip ENDS JUSTIFY MEANS.

Berdasarkan kepada situasi ini, parti-parti pembangkang usahlah terlalu 
menaruh harapan atau bercita-cita besar untuk membenamkan BN dalam 
pilihanraya umum yang akan datang.  Bagaimana pun sekurang-kurangnya 
kita berharap biarlah Mahathir tersungkur di Kubang Pasu sepertimana 
tersungkurnya Bernard Dompok di gelanggang sendiri walau pun BN menang
besar.
  
Oleh: Prof. Dr. Munir Ali Kulubi, Pengarah, Institut Pengajian Politik Nusantara.